Lebih 7 juta pelancong dijangka kunjungi Pahang tahun ini

Lebih 7 juta pelancong dijangka kunjungi Pahang tahun ini

TEMERLOH: Kerajaan Pahang mengunjurkan hasil daripada perbelanjaan pelancong untuk negeri ini antara RM6 bilion hingga RM7 bilion, menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata unjuran itu berdasarkan jangkaan kedatangan pelancong seramai antara 7 juta hingga lapan juta orang bagi tempoh sama.

“Sebelum pandemik (COVID-19) Pahang biasanya dikunjungi sekitar 13 juta pelancong tetapi untuk tahun ini kita jangkakan mampu menarik antara 7 juta hingga 8 juta orang.

“Kerajaan negeri juga mengunjurkan dapat memperoleh hasil daripada perbelanjaan pelancong sebanyak RM6 bilion hingga RM7 bilion tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan Geran Hakmilik STR Warisan Kemuning dan Notis 5A oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail kepada kira-kira 200 penerima di daerah ini di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Lanchang di sini, hari ini.  

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang merangkap ADUN Kuala Sentul, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin  dan ADUN Kuala Semantan, Dato’ Nor zmi Mat Ludin.

Mengulas lanjut, Mohd Sharkar berkata, Kerajaan Pahang akan terus mempromosikan pelancongan berteraskan kelestarian alam semulajadi atau ekopelancongan dan memperkenalkan pelbagai produk pelancongan baharu dari semasa ke semasa.

“Pahang memang terkenal dengan produk ekopelancongan, sebab itu kita bersungguh-sungguh menjaga kelestarian alam di negeri ini contohnya di Tasik Chini dan kita juga akan sentiasa perkenalkan produk baharu, contohnya air terjun atau sungai yang baharu ditemui.

“Apa yang penting produk pelancongan ini perlu sentiasa dikemas kini terutama kepada penggiat dan ejen pelancongan di luar negara, sebab itu Kerajaan Pahang setiap tahun kita hadir ke World Travel Mart di London dan ITB Berlin (Jerman),” katanya. – HELMY ABD RAHMAN