SEGAMAT: Jentera pilihan raya UMNO dari Pahang yang ditugaskan membantu calon parti komponen itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, akan memberi tumpuan lebih di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Jementah dan Kemelah.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Dato’ Sri Hassan Arifin, berkata ini kerana dua kawasan itu disifatkan agak mencabar untuk dimenangi calon BN yang bertanding.
“Dalam keenam-enam kawasan yang diamanahkan kepada jentera kita (UMNO) untuk dijaga, dua kawasan iaitu DUN Jementah dalam Parlimen Segamat dan Kemelah (Sekijang) berdepan cabaran agak besar untuk dimenangi (calon BN).
“Sebelum ini kerusi DUN Jementah diduduki ADUN (Ahli DUN) dari DAP manakala DUN Kemelah pula kita (BN) letakkan calo daripada MIC,” katanya kepada Fikrah Pahang selepas mengadakan pertemuan dengan calon BN Pemanis, Anuar Abdul Manaf di sini, hari ini.
Turut serta dalam pertemuan itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pahang, Dato’ Sri Ab Hamid Mohd Nazahar.
Mengulas lanjut, Hassan yang juga Ahli Parlimen Rompin berkata, sebanyak enam bahagian UMNO dari Pahang membabitkan lebih 700 orang ditugaskan menjaga enam DUN di Johor bagi PRN kali ini.
“Pahang diamanahkan menjaga enam DUN dalam Parlimen Mersing, Sekijang dan Segamat. Kita telah membahagikan dua kumpulan urusetia memandangkan Mersing agak jauh dari Segamat dan Sekijang.
“Bahagian Bera ditugaskan menjaga DUN Pemanis, DUN Kemelah (Lipis), Buluh Kasap (Rompin), Jementah (Jerantut), Endau (Kuala Krau dan Tenggaroh (Temerloh),” katanya.
PRN Johor yang membabitkan 56 kerusi DUN, turut menyaksikan pertembungan empat penjuru di 35 kerusi selain pertandingan tiga penjuru di tujuh kerusi.
Seramai 2,574,835 pengundi biasa daripada keseluruhan 2,597,742 pengundi berdaftar, layak mengundi. Daripada jumlah keseluruhan itu, 22,531 orang adalah pengundi awal yang terdiri daripada 10,955 anggota tentera dan pasangan serta 11,576 anggota polis manakala 376 lagi adalah pengundi tidak hadir luar negara.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 239 calon daripada pelbagai parti politik dan individu dalam PRN Johor selepas 56 pusat penamaan calon (PPC) di seluruh negeri ini ditutup jam 10 pagi tadi.
SPR menetapkan hari pengundian PRN Johor pada 12 Mac dan pengundian awal pada 8 Mac. – HELMY ABD RAHMAN