Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Lebih tujuh ratus ribu rakyat Pahang sudah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), sehingga 24 Jun 2021.
Ia merekodkan peningkatan 60.65 peratus pendaftaran berbanding 51.5 peratus atau 605,745 rakyat Pahang yang berbuat demikian pada 14 Jun lalu.
Peningkatan pendaftaran itu hasil daripada pelbagai program yang dilaksanakan jabatan dan agensi kerajaan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) termasuk kempen di media sosial.
Menurut statistik JKJAV, 302,431 rakyat Pahang sudah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin.
Kerajaan Pahang meletakkan sasaran 1,231,800 rakyat mendaftar untuk mendapatkan vaksin agar mencapai imuniti kelompok menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).