Lebih 800 peserta serbu estet ikan Kuala Wau

Lebih 800 peserta serbu estet ikan Kuala Wau

MARAN: Lebih lapan ratus peserta tempatan dan luar Pahang menyertai Pesta Menjala Ikan Air Tawar Memburu Si Baduk, di Estet Ikan Kuala Wau, di sini, pada 2 Julai lalu.

Program kali pertama diadakan itu dianjurkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Wau dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Pahang. 

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Abdullah Jaafar berkata, ikan spesies toman bunga dan kap rumput muncul ikan terbesar dengan berat tujuh hingga tiga kilogram berjaya ditangkap peserta.

Menurutnya, suasana di kawasan Estet Ikan Kuala Wau begitu meriah dengan kehadiran penduduk setempat yang ingin melihat pesta menjala di samping aktiviti jualan makanan disediakan penganjur.

“Jabatan turut mengadakan aktiviti jualan ikan laut segar dengan harga istimewa, Pusat Pembenihan Aquakultur Perlok, Jerantut tampil membeli ikan tengalan hidup untuk dijadikan induk.

“Rata-rata peserta berpuas hati dengan penganjuran program berkenaan yang memberi kepuasan kepada mereka menangkap ikan menggunakan jala secara beramai-ramai dalam satu masa,” katanya.

Beliau berkata, terdapat tujuh estet ikan aktif di Pahang, masing-masing satu di Maran, dua di Lipis dan empat di Temerloh yang mampu menyediakan sumber makanan berupa pelbagai spesies ikan air tawar berkualiti. – MOHD IMRAN IZZAD