KUANTAN: Meskipun berdepan kenaikan harga kos pembinaan sebanyak RM10,000 seunit, Kerajaan Pahang memberi jaminan meneruskan program Rumah Rakyat Pahang (RRP) tahun depan.
Malah, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata jumlah RRP yang bakal didirikan tahun depan adalah lebih banyak berbanding dua di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan satu Parlimen di negeri ini sekarang.
“Selepas mendengar pelbagai pandangan dan melihat keadaan semasa kita buat kajian teliti dan mendapati harga bahan mentah banyak yang naik, jadi kita bersetuju (membiayai) kos pembinaan sebanyak RM75,000 seunit berbanding RM65,000 sebelum ini.
“Malah kita akan tambah lebih banyak lagi RRP untuk tahun depan. Sebabnya kita bukan hanya ingin beri rumah untuk yang memerlukan, malah menyediakan kediaman selesa untuk mereka dan kita boleh buat semua ini kerana mempunyai kedudukan kewangan kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan kunci RRP kepada pasangan warga emas Mat Mingan Saparun, 73, dan isteri, Sabariah Muyono, 63, di Kampung Bukit Setongkol di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda; Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid.
Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata, Kerajaan Pahang sudah memulakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan bagi memuktamadkan jumlah pampasan yang layak diterima berikutan usaha kerajaan negeri mengekalkan kawasan hutan simpan.
Perbincangan itu adalah susulan pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob hujung minggu lalu mengenai persetujuan kerajaan Persekutuan memberikan sejumlah pampasan kepada negeri ini.
Wan Rosdy berkta,, pertemuan pertama bagi membincangkan perkara itu diadakan Selasa lalu di Putrajaya.
“Kita sudah menyatakan hasrat kerajaan Pahang berkaitan perkara ini dan perjumpaan (perbincangan) juga sudah dimulakan, cuma setakat ini (jumlah pampasan) masih belum diputuskan.
“Perkara ini (pampasan) adalah sangat wajar memandangkan 57.07 peratus daripada 3.6 juta hektar keluasan negeri Pahang tidak diusik dan dikekalkan sebagai hutan simpan.
“Kita kehilangan hasil apabila tidak membenarkan pembalakan atau (perlombongan) sumber mineral di kawasan terbabit, tetapi kita kekalkan juga (kawasan hutan simpan) dan ia memberi manfaat kepada negeri berjiran yang mendapat bekalan sumber air melalui kawasan berkenaan,” katanya.
Ahad lalu, ketika berucap dalam satu majlis di Bera, Ismail Sabri memaklumkan, Kerajaan Persekutuan akan mencari formula terbaik bagi menilai jumlah pampasan yang dapat memberi manfaat kepada kerajaan negeri dan tidak membebankan kerajaan Persekutuan. – HELMY ABD RAHMAN