Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
CAMERON HIGHLANDS: Lebih enam ribu pengusaha dan pekerja kebun sayur di daerah ini bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Vaksinasi Barisan Hadapan Industri Agromakanan (AiVAC) Negara.
Timbalan Pengarah Pertanian (Pengembangan) Jabatan Pertanian Negeri Pahang (JPNP), Nor Edasuriati Ibrahim, berkata program itu adalah inisiatif kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) buat sektor agromakanan.
Menurutnya, inisiatif dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) bertujuan mempercepatkan proses membina imuniti kelompok.
“Kita menjangkakan semua yang terbabit dengan sektor agromakanan akan lengkap menerima vaksin, September depan. Program AiVAC di Cameron Highlands adalah yang pertama di Pahang dan ketiga selepas Johor dan Kedah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran Program AiVAC yang disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pembangunan Industri dan Pengembangan), Dato’ Elias Saad
di Kampung Raja, di sini, kelmarin.
Hadir sama Setiausaha Bahagian Industri Tanaman, Ternakan dan Perikanan, Mazlan Othman.
Nor Edasuriati berkata, program tiga hari AiVAC mendapat sambutan menggalakan daripada semua pihak yang terbabit dalam sektor agromakanan.
“Cameron Highlands adalah pengeluar utama sayur-sayuran di negara ini, Oleh itu, pengeluaran hasil pertanian akan terjejas jika pengusaha dan pekerja kebun enggan mendapat vaksinasi,” katanya.