LIPIS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) terus menyantuni mangsa banjir dengan mengagihkan 1,050 kit bantuan di Parlimen Lipis, hari ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, KPLB bersama agensi di bawahnya sedia melaksanakan inisiatif bantuan banjir Keluarga Malaysia pada kadar segera bagi meringankan beban mangsa yang terjejas.
“Bantuan bukan hanya barang makanan, peralatan memasak, selimut toto dan kit penjagaan kesihatan, bahkan juga sehingga kerja pembersihan, membaiki kenderaan dan peralatan elektrik pasca banjir,“ katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kit Bantuan Mangsa Banjir, di Dewan Tok Linggi, Kampung Relong, di sini, hari ini.
Menurutnya, MARA turut memberi kelonggaran bayaran balik pinjaman pendidikan dan perniagaan serta pengecualian bayaran sewa premis perniagaan kepada mereka yang terjejas. – MUHAMMAD NAJMIE