Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: ANIH Berhad menjangkakan trafik bakal mengalami penurunan berbanding hari biasa sepanjang tempoh sambutan Aidiladha yang bermula semalam hingga 25 Julai ini.
Penurunan itu, masing-masing 81.3 peratus bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan 72.5 peratus pula di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1).
Namun, Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Dato’ Nik Fauzi Nik Hussein, berkata semua kemudahan sepanjang KLK dan LPT 1 turut mempraktikkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Ia termasuk proses sanitasi berkala, penyediaan cecair pembasmi kuman, peralatan merekod butiran diri dan alat pengimbas suhu badan.
“Oleh itu, pengguna lebuh raya disarankan untuk sentiasa mematuhi SOP ketika menggunakan fasiliti lebuh raya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, di dalam kita mensyukuri nikmat hari raya Aidil Adha yang bakal tiba, rakyat dinasihatkan untuk terus mematuhi SOP yang disarankan dalam usaha memutuskan rantaian wabak COVID-19.
“Tanggungjawab ini perlu dipikul bersama dalam memastikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dijayakan sebaiknya,” katanya.