Lebuhraya KL-Karak ditutup 30 minit, 11 malam ini

Lebuhraya KL-Karak ditutup 30 minit, 11 malam ini

KUANTAN: ANIH Berhad akan menutup laluan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di kedua-dua arah selama 30 minit, bermula kira-kira 11 malam, 27 Jun. 

Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, berkata penutupan itu bagi kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Katanya, penutupan itu bertujuan memudahkan laluan jentera berat yang terbabit dengan pembinaan terowong ECRL di Genting.

“Laluan di kedua-dua arah Lebuhraya KLK akan ditutup sepenuhnya dari Kilometer (KM) 55.35 hingga KM55.85 (Lentang) bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“ANIH Berhad ingin menasihati pengguna untuk merancang perjalanan dan jika perlu mempercepatkan atau menangguhkan perjalanan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selepas 11.30 malam ini, hanya laluan lorong kiri akan dibuka di kedua-dua arah kepada pengguna.

ANIH Berhad menjangkakan laluan dibuka sepenuhnya di semua arah pada kira-kira 5 pagi, 28 Jun.

Radzimah berkata, pihaknya juga mengingatkan semua pengguna untuk memandu dengan berhemah dan mematuhi arahan petugas di lokasi..- MUHAMMAD IZZ ZAHIN