Lelaki cedera di Gunung Tahan dibawa dengan helikopter

Lelaki cedera di Gunung Tahan dibawa dengan helikopter

JERANTUT: Pendaki terpaksa dibawa turun dari Gunung Tahan dengan helikopter selepas terkandas semalaman akibat cuaca buruk di tapak perkhemahan Resket di Taman Negara, dekat sini.

Lelaki berusia 59 tahun itu patah paha ketika menuruni Gunung Tahan pagi kelmarin, diselamatkan menggunakan helikopter Agusta AW189 milik Bomba dan Penyelamat  tengah hari semalam.

Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mangsa cedera ketika bersama 17 pendaki lain dan dua malim gunung sedang dalam perjalanan turun ke Kuala Tahan.

“Pasukan itu mendaki Gunung Tahan menggunakan pintu masuk Taman Negara di Merapoh, Lipis, sebelum sampai ke puncak. Mereka dijadualkan turun dan tiba di pintu masuk Kuala Tahan di Jerantut. 

 “Apabila mangsa cedera dan tidak dapat berjalan lagi, malim gunung memaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kuala Tahan sebelum dimaklumkan kepada Bomba dan Penyelamat Jerantut,” katanya. 

Ismail berkata, helikopter dari Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang kemudiannya dihantar ke lokasi kejadian. 

Beliau berkata, akibat kabus tebal, helikopter itu tidak dapat mengenal pasti lokasi sebenar mangsa di tapak perkhemahan dan terpaksa pulang ke pangkalan.

Menurutnya, anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dikerahkan ke Kuala Tahan bagi membantu mengesan lokasi itu.

Ismail berkata, helikopter yang membawa lelaki yang diselamatkan itu mendarat di padang hoki di bandar Jerantut sebelum dibawa ke hospital dengan ambulans. – MUHAMMAD NAJMIE