Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
RAUB: Unit Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menahan lelaki bersama 22 durian musang king dalam kompartmen 175, Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, di sini, semalam.
Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Nor Azirim Ahmad, berkata lelaki berusia 42 tahun itu ditahan kerana kesalahan memasuki HSK tanpa permit.
Menurutnya, ketika ditahan lelaki tempatan terbabit mendakwa dia ke kebun miliknya yang terletak bersebelahan dengan HSK bagi mengambil durian yang mula gugur.
Oleh itu, katanya, dia secara tidak mengaja memasuki hutan simpan.
Menurutnya, lelaki terbabit berjaya melepasi dua sekatan jalan raya (SJR) pihak berkuasa dengan alasan untuk ke kebunnya dan sebagai bukti dia membawa bersama geran tanah.
“Kita tidak pasti kenapa lelaki yang menetap di Kampung Tras itu berada dalam HSK Batu Talam sedangkan kebunnya di luar kawasan hutan simpan terbabit, bersamanya juga terdapat 22 durian Musang King.
“Kita tidak menolak kemungkinan lelaki itu mengambil durian dalam HSK Batu Talam,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Beliau menambah, lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan sementara motosikal dan 22 durian dirampas.
Nor Azirim berkata, lelaki berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 kerana memasuki hutan simpan tanpa permit.
Menurutnya, jika didapati bersalah boleh didenda RM10,000 atau penjara tiga tahun atau keduanya sekali.