Lelaki ditipu pelaburan tidak wujud, rugi RM36,990

Lelaki ditipu pelaburan tidak wujud, rugi RM36,990

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Diumpan dengan gambar cek kononnya hasil keuntungan pelaburan yang disertai membuatkan seorang lelaki rugi RM35,740. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa 46 tahun dari Raub menyertai satu skim pelaburan yang diiklankan di Facebook.

“Mangsa kemudian klik satu pautan dalam iklan berkenaan sebelum dia menerima pesanan melalui Whatsapp daripada Kelvin daripada syarikat GM1 Capital.

“Kelvin memberitahu mangsa mengenai beberapa pakej pelaburan dan mangsa memilih pakej paling murah dan membuat bayaran RM650 ke akaun yang diberikan suspek pada 14 Julai lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, mangsa kemudian diminta untuk membuat bayaran lagi dan memasukkan RM600 pada hari sama.

“Selepas itu mangsa diminta untuk membuat bayaran bagi menerima wang keuntungan dan dalam tempoh 16 Julai hingga 30 Julai lalu. Mangsa membuat 14 kali bayaran ke empat akaun berbeza berjumlah RM35,740.

“Semua bayaran itu adalah untuk menerima keuntungan pelaburan. Bagi menambahkan keyakinan, suspek turut berkongsi gambar cek keuntungan kepada mangsa,” katanya.

Oleh itu, katanya, pada 3 Ogos lalu, mangsa pergi ke bank untuk melihat baki akaun namun mendapati wang keuntungan itu tidak dimasukkan ke dalam akaunnya seperti yang dijanjikan suspek.

“Mangsa menghubungi suspek untuk bertanyakan hal itu. Namun suspek meminta mangsa membuat pembayaran lagi. 

“Tapi, mangsa tidak berbuat demikian sebaliknya tampil membuat laporan polis kerana mengesyaki dirinya tertipu sehingga rugi RM36,990,” katanya.