Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Seorang lelaki ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Padang, dekat Sungai Lembing, di sini, ketika memancing bersama dua lagi rakannya, petang semalam.
Mayat mangsa, Azam Zahari Mat Nawi, 42, dari Kampung Padang, ditemui di dasar sungai berkenaan oleh pasukan penyelamat pada 8.50 pagi ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 7.11 petang semalam.
“Tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota diarahkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa turut dibantu oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dengan kekuatan lima anggota.
“Operasi SAR pada hari pertama gagal menemui mangsa sebelum operasi ditangguhkan dan disambung semula hari ini.
“Mayat mangsa dijumpai oleh PPDA Kuantan kira-kira lima meter dari tempat memancing dan pada kedalaman tiga meter,” katanya.
Katanya, mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada 11.08 pagi ini.