Lembaga Zakat Kedah sumbang 90 tan beras kepada mangsa banjir di Pahang

Lembaga Zakat Kedah sumbang 90 tan beras kepada mangsa banjir di Pahang

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Sebanyak 90 tan beras bernilai RM240,000 diterima Kerajaan Pahang daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), hari ini.

  Bantuan itu diterima Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak yang mewakili Kerajaan Pahang daripada Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman.

  Dr Sallehuddin berkata, kerajaan negeri dan rakyat Pahang mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada LZNK dan rakyat 

Kedah di atas sumbangan berkenaan.

  “Sumbangan ini menunjukkan simpati daripada Kerajaan Kedah terhadap mangsa banjir Pahang yang terkesan selepas mengalami musibah banjir.

  “Dengan bantuan ini sekurang-kurangnya ia meringankan beban yang dihadapi mangsa banjir di Pahang,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan 30 tan beras di Depot Simpanan Keperluan Bencana Pahang, di sini, hari ini.

  Sementara itu, Syeikh Zakaria berkata, pihaknya menyumbang 90 tan beras, masing-masing 30 tan di Kuantan, Jerantut dan Temerloh.

  “Kami bersyukur kerana 90 tan beras atau 18,000 kampit beras lima kilogram selamat diterima. Bantuan ini diharap membantu meringankan beban yang dialami mangsa banjir,” katanya.