Lembaran baharu Kerajaan Pahang

Lembaran baharu Kerajaan Pahang

PEKAN: Lima muka baharu dari Barisan Nasional (BN) termasuk Dato’ Mohd Nizar Najib iaitu anak kepada bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak, membarisi senarai EXCO Kerajaan Pahang yang baharu.

Selain Mohd Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, istiadat mengangkat sumpah EXCO kerajaan negeri di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di sini, hari ini turut menyaksikan pelantikan Ir Razali Kassim (Muadzam Shah), Dato’ Sri Johari Harun (Pelangai), Dato’ Sabariah Saidan (Guai) dan Fadzli Mohd Kamal (Dong).

Tiga EXCO kerajaan negeri sebelum ini iaitu Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abd Razak (Benta), Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad (Kerdau) dan Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (Bebar) sekali lagi diberi kepercayaan menggalas tugas sebagai EXCO.

Sejarah turut terpahat dalam pentadbiran Kerajaan Pahang apabila dua ADUN Pakatan Harapan (PH) iaitu Sim Chong Siang (PKR-Teruntum) dan Leong Yu Man (DAP-Triang) menyertai lapan dari BN mengangkat sumpah sebagai EXCO kerajaan negeri.

Istidadat pelantikan EXCO Kerajaan Pahang itu disempurnakan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sempat memanjatkan rasa syukur atas penyempurnaan istiadat itu.

“Patik dan seluruh pacal Ahli Mesyuarat Kerajaan Pahang, menjunjung titah KDYMM Pemangku Raja Pahang supaya kerajaan negeri yang baru dibentuk ini memberi fokus kepada iltizam mengenepikan ideologi dan sentimen politik kepartian; meletakkan agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat sebagai keutamaan serta menumpukan sepenuh masa untuk berbaktik kepada rakyat Pahang.

“Marilah kita sama-sama berusaha dan berdoa agar lima tahun akan datang menjadi penggal yang menyaksikan kebangkitan Pahang menjadi negeri yang stabil, progresif, makmur dan harmoni berbilang kaum, insya-Allah. Kepada Allah kami berserah,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN