Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Kerajaan negeri bersetuju menerima cadangan dikemukakan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (Lepai) untuk menambah kuota guru Kelas al-Quran Fardu Ain (KAFA) di Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata cadangan itu satu daripada lima perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat secara maya antara kerajaan negeri, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Anggota Lembaga Penasihat LEPAI, hari ini.
Katanya, mesyuarat yang diurusetia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan dipengerusikan Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan itu turut membincangkan mengenai kertas kolaborasi tahfiz bersama pihak pengurusan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) selain aktiviti ko-kurikulum dalam norma baharu.
“Turut dibincangkan, kertas panduan ke universiti di timur tengah khasnya Al-Azhar di Mesir dan kertas pencapaian program Ulul Albab di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM),” katanya.
Mesyuarat itu turut dihadiri Pengarah JAIP, Dato’ Dr Zulkefli Ali dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan JAIP, Mohamad Abdul Rahman.