Lepas gian selepas dua tahun

Lepas gian selepas dua tahun

SELEPAS terpaksa berehat selama dua tahun akibat COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tanggal 4 Julai lalu menjadi detik buat atlet memanah terdiri daripada pelajar sekolah seluruh Maran untuk ‘melepaskan gian’ dalam Kejohanan Memanah Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Maran 2022.

Kejohanan yang diadakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang di Bandar Pusat Jengka itu disertai 45 pemanah berusia bawah 12, 15 dan 18 tahun daripada 17 buah sekolah dari seluruh Maran. 

Daripada enam pingat emas dipertandingkan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran dan SMK Jengka Pusat masing-masing merangkul dua emas, manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Luit serta SK Bukit Bota masing-masing membawa pulang satu emas.

Pengerusi Teknik Permainan Sukan (PTPS) Memanah MSSD Maran, Mohamad Fazrul Zukfli, berkata kejohanan itu dianjurkan untuk mencari pemanah yang akan mewakili Maran.

“Selain itu, kejohanan seumpama ini memjadi landasan permulaan untuk program pembangunan sukan memanah di daerah ini.

“Fasiliti selesa dan kerjasama baik daripada pihak UiTM melancarkan kejohanan ini dan mengikut jadual ditetapkan,” katanya kepada Fikrah Pahang.

Beliau turut memuji pihak ibu bapa selain guru pengiring yang memberikan sokongan padu kepada peserta. 

“Pingat disampaikan beberapa tetamu VIP (kehormat) iaitu Presiden Sukan Memanah Pahang, Dr Mohamad Azmi Nias Ahmad; Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Pembangunan Bakat Murid PPD (Pusat Pendidikan Daerah) Maran, Akmal Syah Mohamed dan Pengetua SMK Sri Jaya, Abd Rahim Jamari,” katanya. – DR MOHAMAD NIAS AHMAD