Lepas ni bolehla koi jumpa rodong semer

Lepas ni bolehla koi jumpa rodong semer

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my 

TEMERLOH: “Memang saya tak sabar nak vaksin, rindu nak jumpa kawan-kawan,” kata Ahmad Ifwad Mohamed, 17, dari Taman Sagumpas 3, Mentakab dekat sini.

Remaja itu antara 398 pelajar tingkatan empat dan lima Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Khariah di sini yang menerima vaksin dos pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk remaja Pahang di Dewan Tun Razak di sini, hari ini.

Ahmad Ifwad yang ditemani bapanya, Mohamed Idris, 71, berkata, orang ramai terutama remaja tidak harus takut untuk menerima vaksin kerana ia adalah ‘jalan keluar’ daripada musibah COVID-19.

“Malah bagi saya, sememangnya ternanti-nanti untuk divaksin kerana ia akan membolehkan saya menjalani kehidupan seperti keadaan sebelum pandemik menjelma, dengan penuh yakin dan selamat,” katanya kepada Fikrah Pahang.

Bagi Asna Nur Annisa Abdul Azim, 16, dia bersyukur apabila mendapat tahu dapat divaksinasi hari ini dan berharap kehidupan kembali normal seperti dulu.

“Saya rindu zaman sekolah sebelum pandemik apabila kita semua dapat bersemuka dengan guru, kawan-kawan dan buat aktiviti kurikulum bersama,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semantan, Dato’ Nor Azmi Mat Ludin yang mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) itu berkata, boleh dikatakan semua pelajar ditemuinya kelihatan bersemangat dan tidak sabar untuk menerima suntikan vaksin.

“Ibu bapa juga beritahu saya mereka lebih yakin untuk melepaskan anak kembali ke sekolah secara bersemuka bermula 3 Oktober ini,” katanya.

Menurutnya, mengikut jadual, program vaksinasi remaja tingkatan empat dan lima di Temerloh akan selesai hujung minggu ini.

“Untuk hari ini sahaja, seramai 1,300 pelajar divaksin di lapan PPV di Temerloh dan di Dewan Tun Razak ini membabitkan 398 pelajar SMA Al-Khariah,” katanya yang turut membekalkan roti, kek dan air mineral kepada remaja terbabit.