Lepas ni harapnya LPT tak banjir dah 

Lepas ni harapnya LPT tak banjir dah 

KUANTAN: Kerja-kerja membaik pulih laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang sering dinaiki air akan bermula Julai ini.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri sudah pun mengenal pasti lokasi yang terbabit.

“Persetujuan bagi tujuan itu sudah diperoleh daripada Kerajaan Persekutuan dan kerja-kerja membaik pulih dijangka bermula Julai ini.

“Projek baik puih aras laluan LPT ini membabitkan jalan Lanchang yang keadaannya agak kritikal setiap kali hujan atau musim banjir. 

“Jalan ini diberi keutamaan kerana strukturnya terlalu rendah dan sering dinaiki air hingga menyukarkan pergerakan kenderaan terutama yang membawa bekalan makanan untuk keperluan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dato’ Md Soh aimi Mohamed Shah (BN-Sungai Lembing) berhubung pelan tindakan Kerajaan Pahang menangani masalah banjir pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, Sehingga 10 Mac lalu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang sudah menerima peruntukan sebanyak RM20.36 juta untuk kerja-kerja pemuliharaan sungai dan menaik taraf kolam takungan banjir serta empangan bagi mengurangkan risiko banjir di setiap daerah.

“Untuk tujuan memelihara sungai, ia membabitkan 158 projek bernilai RM16.54 juta dan 36 projek (RM1.9 juta) bagi menaik taraf kolam takungan, sementara menaik taraf empangan pula membabitkan dua projek bernilai RM1.8 juta,” jelasnya. – HELMY ABD RAHMAN