Lepas ni makin mudahlah kerajaan negeri nak bantu anak muda

Lepas ni makin mudahlah kerajaan negeri nak bantu anak muda

KUANTAN: Kerajaan negeri akan mewujudkan satu jawatankuasa induk undi 18 bagi tujuan bimbingan dan memudahkan bantuan disampaikan kepada golongan muda terutama membabitkan hala tuju mereka selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Sumber Manusia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain, berkata jawatankuasa berkenaan akan dianggotai kira-kira 10 individu dari pelbagai agensi dan pertubuhan belia, antaranya Jabatan Belia dan Sukan Pahang, Majlis Belia Negeri (MBN) Pahang selain beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Sumber Manusia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain berucap di Majlis Penyerahan Cek Sumbangan YB Menteri Besar di Stadium Darul Makmur, Kuantan


“Kita akan buat lantikan dalam kalangan mereka ini kira-kira 10 orang untuk menganggotai jawatankuasa induk ini iaitu pihak atau pertubuhan yang mempunyai ramai orang muda di dalamnya.

“Dari sini kita akan fikirkan bersama apa yang kerajaan (negeri) nak rancang dan kita akan berkolaborasi dan membantu… maksud saya ialah, kita nak bawa NGO-NGO ini bersama dengan kerajaan negeri, tapi kerajaan negeri dah ada hala tuju dan platform sendiri.

“Kita nak libatkan anak-anak muda dalam NGO dan persatuan-persatuan ini, yang ramai anak muda dalam tu, bukan (kerana) kita nak mengajak mereka berparti, tapi nak supaya ada satu bimbingan bagaimana undi 18 ini boleh dimanfaatkan anak muda untuk kesinambungan masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Sumbangan YB Menteri Besar di Stadium Darul Makmur, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Pengarah Majlis Sukan Pahang, Zamri Hassan.

Mengulas mengenai majlis itu, Mohd Johari berkata, kerajaan negeri menyalurkan sumbangan keseluruhan sebanyak RM150,000 untuk dinikmati antaranya golongan belia, atlet dan anggota Skuad Bencana Pahang yang terdiri beberapa NGO di negeri ini.

“Penerima terdiri daripada mereka yang terjejas akibat Covid-19 dan yang terbabit dalam bantuan bencana, lebih-lebih lagi Monsun Timur Laut dijangka menimpa negeri ini tidak lama lagi,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN