SRI Pahang FC dijangka mempertaruhkan lima import buat kali pertama pada Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Kuala Terengganu yang bermula esok hingga 9 Februari ini.
Lima import berkenaan adalah Manuel Hidalgo, Mamadou Samassa, Mahmoud Za’tara, Johan Martial dan Billy Ketkeophomphone.
Selain itu, dua pemain import yang dalam proses menaturalisasikan iaitu Lee Tuck dan Sergio Aguero dijangka menjadi pilihan ketua jurulatih, Christophe Gamel bagi menguji prestasi semua pemain.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang, Dato’ Mohammed Suffian Awang, berkata semua pemain, termasuk lima import bakal disenaraikan pada kejohanan berkenaan.
“Namun, keputusan menyertai kejohanan ini sebenarnya lebih kepada membentuk persefahaman di kalangan pemain yang sebahagiannya baru digandingkan musim ini.
“Diharapkan kejohanan ini dapat membantu sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Super yang dijadualkan berlangsung pada Mac depan,” katanya.
Kejohanan bagi merebut Piala YAB Menteri Besar Terengganu 2022 itu membabitkan Terengganu FC (TFC) selaku tuan rumah selain TFC II dan Penang FC.
Kejohanan itu diadakan di dua venue iaitu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN