Lima lokaliti di empat daerah di Pahang kena PKPD

Lima lokaliti di empat daerah di Pahang kena PKPD

Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Lima lokaliti, masing-masing dua di Maran dan satu di Bentong, Kuantan dan Rompin, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Isnin ini hingga 22 Ogos depan.

Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan) Dato’ Sri Hishammuddin Hussein berkata, lokaliti terbabit ialah FELDA Jengka 18 dan Kampung Paya Besar Kertau di Maran.

Katanya, di Bentong pula membabitkan Kampung Orang Asli Sungai Bot, Karak; FELDA Sungai Panching Selatan di Kuantan dan Jalan Feri Lama, Teluk Gading di Rompin.

“Selain Pahang, PKPD itu turut membabitkan sembilan lokaliti di Sabah. Keputusan ini diambil selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, Blok 5, FELDA Keratong 7, Muadzam Shah di Rompin yang dikenakan PKPD pada 26 Julai lalu akan menamatkan pelaksanaannya esok, seperti dijadualkan.