Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Gambar ihsan pembaca
RAUB: Lima pekebun durian Musang King didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, di sini.
Bagaimanapun semua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahya.
Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 47(1)(c) Akta Perhutanan Negara 1984 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Empat individu terbabit ialah Ka Nir, 32, dan Ronny Rusly, 46, yang kedua-duanya berasal dari Indonesia; Chiah Kin Seng,54, serta Lavin Chieh Zhe Yueng, 21, didakwa memasuki hutan simpan pada 3 Julai lalu manakala Wong Than Fook, 49, didakwa masuk dalam hutan simpan pada 8 Julai lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati berada di dalam Kompartmen 175 Hutan Simpan Batu Talam dan memasuki HSK iaitu hutan tertutup tanpa sebarang permit masuk sah.
Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 47(1)(c) Akta Perhutanan Negara 1984 yang diterima pakai oleh negeri Pahang di bawah Enakmen Perhutanan Negara 1986 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 47 (4) Enakmen sama.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Afidatul Azwa Kamarulanuar manakala tertuduh diwakili peguam Samantha Chong Yin Xin dan Chong Kar Yan.
Terdahulu, Afidatul Azwa memohon mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 kepada tiga tertuduh warga Malaysia dan tidak membenarkan jaminan kepada dua warganegara Indonesia iaitu Ka Nir dan Ronny Rusly.
Bagaimanapun peguam tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dan jaminan turut diberikan kepada warga Indonesia memandangkan semua tertuduh mempunyai komitmen dan telah dibebaskan sebelum ini dengan jaminan polis.
Ahmad Faizadh kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM3,000 kepada empat individu iaitu Ka Nir, Ronny Rusly, Chiah Kin Seng dan Wong Than Fook manakala Lavin Chieh Zhe Yueng ditawarkan jaminan sebanyak RM2,000.
Mahkamah menetapkan 15 September depan bagi sebutan semula kes dan kesemua tertuduh dibebaskan selepas membayar jaminan.