KUANTAN: Kerajaan Pahang meluluskan RM50,000 sebagai geran penyelidikan kepada lima penyelidik untuk melaksanakan kajian di Taman Negeri Rompin, tahun depan.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan ismail, berkata daripada jumlah itu, setiap penyelidik menerima RM10,000.
“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua penyelidik yang menerima geran penyelidikan berkenaan.
“Kerajaan Pahang berharap penyelidik dapat melaksanakan kajian dengan cemerlang dan sekali gus dapat menaikkan imej Taman Negeri Rompin sebagai hub penyelidikan unggul negeri Pahang,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian pada Majlis Surat Tawaran Geran Penyelidikan dan Pendidikan Perhutanan Taman Negeri Rompin, Pahang bagi tahun 2023 di Wisma Sri Pahang, di sini, semalam.
Lima penerima geran berkenaan ialah Dr Ahmad Fitri Zohari dari Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Rosazlin Abdullah dari Fakulti Sains Universiti Malaya (UM) dan Prof Dr Rusea Go dari Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia (UPM).
Dua lagi penerima geran ialah Prof Madya Dr Choong Chee Yen dari Fakulti Sains dan Teknologi UKM dan Dr Rosnida Tajuddin dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia (USM). – MUHAMMAD IZZ ZAHIN