Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
RAUB: Lima produk sekitar daerah ini dikenal pasti sebagai ‘permata’ yang bakal menjadi teras dalam usaha membangunkan daerah ini sebagai lembah agro.
Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PlanMalaysia), Dr Shamsaini Shamsuddin, berkata Musang King adalah antara lima permata Raub bakal menjadi ikon produk pertanian di peringkat global.
“Empat lagi Permata Raub ialah Bukit Fraser sebagai eko-warisan tanah tinggi, Kompleks Geopark Benum (geo-pelancongan) , bandar Raub (agro-warisan, eko-pelancongan dan agro-pelancongan),” katanya pada Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan (RT) Daerah Raub di Dewan Jubli Perak Majlis Daerah Raub di sini, semalam.
Hadir sama YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Dato’ Aziz Mat Kiram; ADUN Dong, Dato’ Sri Shahirudin Moin dan Pegawai Daerah Raub, Dato’ Mohammad Shahid Ismail.
“Bagi kawasan bandar Raub dicadangkan pembinaan zon warisan, termasuk Muzium Warisan dan Kesenian Raub dan penggunaan slogan ‘Weh Moh Ke Raub’,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, secara keseluruhan Draf RT Raub 2035 menyenaraikan 130 cadangan keseluruhan projek dan inisiatif pembangunan dengan 23 daripadanya dikategorikan sebagai ‘quick win’ yang perlu dilaksanakan segera.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, beliau sudah melihat draf RT Raub dan berpuas hati dengan perancangan dilakukan yang dilihat begitu baik dalam pembangunan daerah itu termasuk empat `permata’ Raub.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam merealisasikan cadangan terbabit dengan mengambil kira faedah kepada rakyat.