Oleh Zulkepli Osman
fikrahpahang@gmail.com
Gambar Zulkepli Osman
LIMA termasuk bekas penjaga gol pasukan bola sepak kebangsaan, Azmi Mahmud berjaya merebut slot ke pusingan akhir Kejohanan Golf Amatur Kebangsaan Perodua yang bakal berlangsung di Forest City Golf Resort Johor pada akhir Januari tahun depan.
Kelima-lima mereka layak ke pusingan akhir apabila menjuarai kategori masing-masing dalam saingan siri ke enam 2020/2021 di Mahkota Golf and Country Club (MGCC), Bandar Indera Mahkota, Kuantan, hari ini.
Azmi muncul juara kategori A apabila mengumpul 67 pukulan nett manakala Raden Norhafifi pula mendominasi kategori B dengan jumlah 65 pukulan nett.
Bagi kategori C, Jusmi Ahmad muncul juara dengan 61 pukulan nett manakala Mohamed Faisal mengungguli kategori D dengan 60 pukulan nett sambil Wan Zainuri Wan Jusuh pula gah memimpin kategori E dengan 65 pukulan nett.
Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Presiden World Amateur Golfers Championship (WAGC), Isaac Saminathan, antara jemputan yang memeriahkan kejohanan berkenaan yang dianjurkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.