Lipis bakal jadi tapak Global Geopark

Lipis bakal jadi tapak Global Geopark

KUANTAN: Kerajaan Pahang mengambil langkah proaktif dalam usaha menjadikan Lipis sebagai lokasi untuk Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Global Geopark.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata usaha diputuskan menerusi Mesyuarat Anggota Perbadanan Taman Negeri Pahang yang dipengerusikan beliau, semalam.

Katanya, geopark adalah wilayah yang mengandungi tapak warisan geologi dan landskap berkepentingan antarabangsa dan diurus secara holistik berasaskan konsep pemeliharaan, pemuliharaan, pendidikan dan pembangunan lestari.

“Antara keunikan Lipis selain sebagai bandar warisan Pahang adalah terdapat formasi batuan Devon–Perm Tengah iaitu sekitar 420-270 juta tahun lalu di Pos Betau yang menjadi bukti pertembungan dua plat tektonik yang membentuk semenanjung Malaysia.

“Aspirasi Lipis Geopark akan menjadi platform untuk memperkasa kepelbagaian warisan daerah Lipis.

“Pengiktirafan sebagai tapak Geopark juga akan mempertingkatkan sosioekonomi masyarakat setempat melalui kewujudan peluang pekerjaan dan kerancakan aktiviti pelancongan,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Wan Rosdy berkata, sebagai langkah awal, kerajaan negeri sudah melakukan perbincangan dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Perbadanan Taman Negeri Pahang.

Katanya, perbincangan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Lipis Geopark yang merangkumi keperluan sumber manusia dan kewangan bagi mendapatkan pengiktirafan sebagai sebuah Geopark Kebangsaan.

“Pengiktirafan ini antara syarat untuk melayakkan Lipis Geopark dicalonkan sebagai UNESCO Global Geopark.

“Sehingga ini, terdapat 177 UNESCO Global Geopark di seluruh dunia dan Langkawi Geopark adalah satu-satunya UNESCO Global Geopark di Malaysia.

“Selain itu, terdapat enam tapak yang telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan iaitu Langkawi Geopark, Lembah Kinta Geopark, Jerai Geopark, Mersing Geopark, Kinabalu Geopark, Lenggong Geopark dan Labuan Geopark.

“Saya harap usaha kita mewujudkan Lipis Geopark menjadi kenyataan supaya daerah ini dapat diuruskan secara holistik berteraskan kelestarian alam semula jadi selain menjadi satu lagi tarikan pelancongan menarik,” katanya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN