Lipis bakal keluar 1.5 juta ayam pedaging setahun

Lipis bakal keluar 1.5 juta ayam pedaging setahun

LIPIS: FELCRA Berhad akan melaksanakan projek mega ternakan ayam pedaging sistem tertutup bernilai RM20 juta di Sungai Damak, Jeransang , Lipis, untuk merealisasikan Pelan Tindakan Dasar Keselamatan Makanan Nasional (DSMN) 2021-2025.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdi Wan Ismail berkata, usahasama strategik FELCRA Berhad dengan Kerajaan Pahang di kawasan kira-kira 20 hektar di Sungai Damak, Jerangsang, dijangka mengeluarkan 1.5 juta ayam setahun.

Katanya, dengan pengeluaran sebanyak itu, ia mampu memenuhi keperluan daging ayam di pasaran tempatan, khususnya di Lipis dan Pahang Barat amnya.

“Kaedah yang digunakan adalah secara tertutup dengan penggunaan pendingin hawa, sekaligus dapat menjimatkan masa, pengurusan dengan lebih efisien serta membantu mengurangkan masalah lalat.

“Projek ini mampu untuk mengeluarkan 250,000 per pusingan atau 1.5 juta setahun. Kadar ini adalah masih jauh berbanding dengan keperluan semasa iaitu 2.09 juta sehari, atau 62.9 juta ayam sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis pelancaran dan penyerahan tapak projek penternakan ayam FELCRA di Sungai Damak, Jeransang, hari ini