Lipis juara bola sepak Karnival Sukan Orang Asli

Lipis juara bola sepak Karnival Sukan Orang Asli

DUA gol pada babak pertama menjadi kelebihan kepada Lipis untuk menewaskan Maran 2-1, pada saingan bola sepak Karnival Sukan Orang Asli Pahang di padang Kompleks START Alor Akar, Kuantan, semalam.

Karnival sebulan itu turut membabitkan acara sumpit, sepak takraw dan bola jaring.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi.

Dalam acara sumpit johan berpihak kepada Maran sementara Bentong johan bola jaring.

Pertemuan akhir sepak takraw akan diadakan di Temerloh, Ahad ini.

Jurulatih Lipis, Anuar Awang berkata, persembahan bertenaga dipamerkan pemain pada babak pertama menjadi kelebihan kepada Lipis pada perlawanan akhir.

“Beberapa peluang terhidang pada babak kedua gagal disempurnakan jentera serangan, kelekaan benteng pertahanan membolehkan lawan menghasilkan satu gol.

“Saya berharap pemain yang terpilih mewakili Pahang ke peringkat kebangsaan dapat memberi tumpuan sepenuhnya sepanjang saingan,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD