Lipis, Padang Tengku, Cheka, Benta dalam tangan

Lipis, Padang Tengku, Cheka, Benta dalam tangan

LIPIS:  Barisan Nasional (BN) Lipis yakin dapat mengekalkan kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan sasaran majoriti yang lebih besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dengan tagline ‘Satu Lipis Kekal BN’, Ketua UMNO Bahagian Lipis, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad mendakwa beliau berpuas hati dengan kesiapsiagaan yang ditunjukkan oleh jentera BN Parlimen Lipis bagi menghadapi PRU15, pada 19 November ini. 

Menurutnya, keyakinan itu berasaskan maklum balas yang diberikan terhadap perkhidmatan dan kebajikan yang dihulurkan oleh kepimpinan BN di Lipis selain kerap turun padang bertemu masyarakat. 

“Saya melihat gerak kerja yang ditunjukkan oleh semua lapisan kepimpinan sama ada peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri adalah pada tahap yang tertinggi. 

“Ini sekaligus menunjukkan kita bersedia mempertahankan kerusi Parlimen dan tiga DUN iaitu Padang Tengku, Cheka dan Benta,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Lipis yang dihadiri kira-kira 3,000 jentera BN terdiri daripada sayap-sayap dan parti komponen bertempat di Perkarangan Terbuka Arena Jubli Perak, di sini, semalam. 

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, BN Lipis juga mempunyai strategi sendiri dalam menarik sokongan pengundi muda yang berusia 18 hingga 20 tahun yang kali pertama mengundi dalam PRU15. – MUHAMMAD NAJMIE