Liputan 4G di Cameron Highlands kian luas

Liputan 4G di Cameron Highlands kian luas

CAMERON HIGHLANDS: Liputan 4G di kawasan yang berpenduduk di Cameron Highlands kini sudah mencecah 86.94 peratus.

Kadar ini dijangka terus meningkat apabila semua projek di bawah JENDELA siap sepenuhnya yang disasarkan pada penghujung 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff  berkata, daripada 23 menara baharu yang akan dibina, dua daripadanya iaitu di Pos Lemoi dan Kg Telimau, siap sepenuhnya. 

“Baki 21 menara dalam peringkat pelaksanaan. Antara lokasi baharu adalah di Kampung Abu, Panngen, Leryar, Habu, Kuala Boh, Jalan Ringlet/Sungai Koyan, Bertam Valley Farm, Blue Valley 3, Kampung Raja dan PPRT Lembah Bertam,” katanya. 

Selain itu, katanya, lapan kampung Orang Asli di Cameron Highlands mendapat manfaat daripada projek Internet jalur lebar satelit yang siap pada April lalu.