KUANTAN: Kawasan pentadbiran baharu Kerajaan Pahang iaitu bangunan Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) dan kawasan persekitarannya di Kota SAS, di sini, bakal menikmati kemudahan liputan komunikasi lebih meluas.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata kemudahan di bawah pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 (2020-2022) itu turut membabitkan kawasan luar bandar dan pedalaman.
Katanya, perkhidmatan komunikasi di PPSAS dan kawasan Kota SAS dijangka terus dipertingkatkan, selari dengan pertambahan penduduk apabila semua pejabat kerajaan berpindah ke PPSAS dan lebih ramai mendiami di kawasan berkenaan tahun depan.
“Saya diberi taklimat oleh SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) Pahang mengenai penyelarasan bersama syarikat telekomunikasi yang memberikan komitmen bagi pemasangan antena dalam bangunan PPSAS sebaik sahaja pembinaan bangunan PPSAS siap tidak lama lagi.
“Untuk makluman, bagi kawasan sekitar Kota SAS, sebanyak empat struktur telekomunikasi akan dibina iaitu dua struktur di Presint 3 dan 5 telah siap, manakala dua lagi yang terletak di Presint 7 dan 2 sedang dalam peringkat awal pembinaan,” katanya.
PPSAS ialah pusat pentadbiran baharu Kerajaan Pahang menggantikan Wisma Sri Pahang yang berusia lebih 50 tahun.
Pusat pentadbiran itu menjadi ikon terbaharu negeri ini dengan bentuk bangunan diinspirasikan daripada jata Negeri Pahang dan mengaplikasikan teknologi hijau demi penekanan pemeliharaan alam sekitar.
Projek pembangunan PPSAS untuk kesejahteraan kakitangan awam dan rakyat ini mula dilaksanakan Kerajaan Pahang pada era pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebagai Kerajaan Persekutuan yang diketuai Perdana Menteri Keenam ketika itu, Dato’ Sri Najib Razak. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN