Lokasi baharu penempatan  banjir dah ada tapi belum muktamad

Lokasi baharu penempatan banjir dah ada tapi belum muktamad

KUANTAN: Kerajaan Pahang mengenal pasti beberapa lokasi baharu penempatan banjir di Kuantan, Pekan, Lipis dan Raub.

Bagaimanapun, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kawasan sebenar penempatan di semua daerah terbabit masih belum dimuktamadkan.

Katanya, keputusan pemindahan mangsa banjir perlu mendapatkan pandangan dan persetujuan.

“Kita tidak mahu penduduk dipindahkan secara paksaan bagi mengelak timbul masalah lain kerana segala keputusan perlu dilakukan secara teratur.

“Sekiranya ada usaha mencegah banjir, kemungkinan mangsa banjir tidak perlu berpindah. Oleh itu, kita harus fikirkan juga kemungkinan mereka ada sebab tertentu untuk tidak mahu pindah. Perkara ini tidak boleh dibuat dengan mudah,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian pada sidang media selepas menerima borang keahlian UMNO 32 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Maran, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri juga akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mendapatkan keputusan tepat.

“Ketika ini, kerajaan negeri memberi tumpuan untuk membantu mangsa banjir terutama yang kehilangan rumah dan rumah rosak akibat banjir baru-baru ini,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN