Long Nan bagi A+++ pada MB

Long Nan bagi A+++ pada MB

KUANTAN: “Pulau Tawar (Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar, Dato’ Nazri Ngah) saya tengok, jawab soalan semua… saya bagi (beri) A+. Jelas, bukan yang lain (barisan EXCO Kerajaan Pahang) tak jelas. Maknanya yang lain saya bagi A, Pulau Tawar saya bagi A+. 

“(Untuk) YAB Menteri Besar (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail), A+++,” kata bekas Menteri Besar, Dato’ Sri Adnan Yaakob ketika mencelah ucapan penggulungan YAB Menteri Besar pada Mesyuarat Pertama Penggal ke-5 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini. 

.

Beliau berkata demikian memuji cara wakil kerajaan negeri menjawab soalan diajukan sepanjang sidang DUN berlangsung.

Adnan turut memuji cara Wan Rosdy memimpin kerajaan negeri sejak mengambil alih peranan selaku Menteri Besar pada 2018.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Menteri Besar (MB) sejak mengambil alih teraju kerajaan negeri.

“Beliau (Wan Rosdy) seorang yang amat prihatin mengenai hal rakyat, banyak merancang dan melaksanakan program dan semua ini adalah untuk rakyat.

“Saya terharu dan sangat senang hati dengan apa yang dibuat oleh MB… pasangan berkahwin pun dapat peruntukan, yang melahirkan anak, yang lahir pun dapat bantuan, jangan ceritalah bantuan banjir.

“Malah YAB MB baru-baru ini sanggup turun sekejap (dari Perhimpuanan Agung UMNO) sejam dua untuk menyampaikan bantuan mangsa banjir kilat. Beliau (Wan Rosdy) banyak membuat, meneruskan kesinambungan pemimpin terdahulu,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai itu juga sempat berseloroh mengenai kebolehannya membuat aksi melipat kaki di tengkuk sebelum mengakhiri celahannya itu.

“Di dalam dewan ini, saya ingat saya paling tua, 72 tahun, (tapi) kalau nak ‘challenge’ (cabar), bawa kaki ke atas kepala, rasanya boleh lagi. Jurugambar tu dah menjeling nak ambil gambar, langsung tak jadi.

“Tapi anak saya tak bagi (beri), katanya takut tak boleh tanggal. Nanti dibawa ke hospital, keluar surat khabar bekas Menteri Besar kaki terlekat di kepala,” katanya sambil disambut gelak ketawa ahli dewan. – HELMY ABD RAHMAN