Long Nan terima Ijazah Doktor Kehormat UnIPSAS

Long Nan terima Ijazah Doktor Kehormat UnIPSAS

KUANTAN: Bekas Menteri Besar, Tan Sri Adnan Yaakob dianugerahkan  Ijazah Doktor Kehormat Dalam Kepimpinan dan Pembangunan Pendidikan Islam oleh Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) pada Majlis Konvokesyen ke-19 universiti berkenaan yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.

Anugerah  disempurnakan Canselor UnIPSAS,   KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam ucapannya, Adnan bersyukur dan berterima kasih kepada UnIPSAS diatas anugerah yang diterimanya.

“Tiada apa yang dapat saya ucapkan selain berterima kasih dengan anugerah diberikan ini,” katanya.

Beliau juga menitipkan pesanan kepada graduan supaya meneruskan usaha mencapai tahap akademik tertinggi dan sentiasa berusaha terus cemerlang dalam dunia pendidikan. 

“Tahap pendidikan boleh merubah kedudukan dan masa depan masyarakat serta semuanya boleh dipelajari melalui percampuran selain pemerhatian terhadap nilai-nilai murni yang boleh diamalkan.

“Untuk pensyarah, teruskan pembacaan, banyakkan penulisan artikel dan terbitkan makalah yang apabila diterbitkan boleh dijadikan rujukan pensyarah,” katanya.

Adnan yang dilahirkan pada tanggal 18 April 1950 di Bentong sebelum ini dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Pentadbiran Pendidikan dari Universiti Yarmouk, Jordan pada 2010 dan Ijazah Doktor Kehormat Pengurusan Teknologi Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 2017.

Beliau juga berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) Kelas Pertama di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun ini. – NUR HANNAH KHADIJAH