KUALA LUMPUR: Minat mendalam terhadap ilmu menjadi pendorong kepada bekas YAB Menteri Besar Pahang ke-14, Tan Sri Adnan Yaakob untuk menamatkan pengajian Sarjana Muda Undang-Undang pada usia 72 tahun.
Bukan sekadar tamat pengajian malah Adnan yang merupakan antara 414 graduan penerima ijazah dalam bidang itu pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) ke-38, hari ini.
Beliau juga dianugerahkan Rector’s List kerana berjaya menampilkan prestasi cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.62.
Berkongsi perjalanan akademiknya, Adnan berkata, walaupun beliau sudah memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sastera daripada Universiti Malaya pada 1984, beliau bertekad terus mengejar ilmu dalam bidang perundangan pula.
“Ramai orang tanya mengapa saya sambung belajar. Sebenarnya saya sejak kecil suka mencari ilmu pengetahuan.
“Sebenarnya saya pernah buat (belajar) undang-undang di UIAM pada 1984. Saya termasuk dalam kelompok kedua jurusan. Tapi, tidak tamat sebab saya dipanggil untuk bertanding pilihan raya pada 1986,” katanya pada majlis konvokesyen itu di Dewan Utama Pusat Kebudayaan, UIAM.
Mengulas lanjut, Adnan yang berkhidmat sebagai YAB Menteri Besar Pahang dari 1999 hingga 2018, berkata beliau seronok dikelilingi rakannya ketika sedang mengulang kaji pelajaran.
“Saya dapati belajar ini mudah walaupun saya sudah tua. Saya lebih suka dikelilingi oleh kawan-kawan saya. Apabila mereka datang minum kopi, ketika itulah saya belajar kerana Iebih cepat untuk saya,” katanya.
Menurutnya, beliau berjaya menamatkan pengajiannya setelah tiga semester mengikuti pembelajaran secara dalam talian manakala selebihnya secara bersemuka dalam kuliah khas bersama pensyarah.
“Saya diberi tempat yang khusus untuk mengadakan sesi pembelajaran dengan pensyarah, tetapi saya sempat berkenalan (dengan rakan sejurusan) lain melalui dalam talian. Semua pangkat anak saya, ada yang panggil saya pak long, atok dan sebagainya,” katanya berseloroh.
Apabila ditanya perancangan menceburi bidang guaman selepas ini, beliau berkata: “Saya bercadang begitu. Besar kemungkinan saya akan buat ‘chambering’ di Kuantan, insya-Allah.
“Namun, saya kena tengok mungkin ada tawaran tertentu untuk melibatkan diri dalam bidang yang tertentu.”
Adnan menyertai politik pada 1969 dan telah memegang pelbagai jawatan antaranya Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bentong dan Ketua UMNO Bahagian Bentong pada 1987 sebelum beliau dilantik sebagai YAB Menteri Besar Pahang pada 25 Mei 1999.
Beliau adalah YAB Menteri Besar Pahang yang paling lama berkhidmat iaitu 19 tahun sebelum melepaskan jawatan itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14. – BERNAMA