Lori balak viral disahkan pindah balak saiz besar ikut peraturan

Lori balak viral disahkan pindah balak saiz besar ikut peraturan

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Seksyen Penguatkuasaan Hutan,

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mendapati tidak ada sebarang kesalahan berlaku berkaitan viral di media sosial membabitkan sebuah lori membawa balak bersaiz besar yang ditemui di Lebuh raya Pantai Timur (LPT), semalam.

Lori yang membawa muatan empat tual balak spesies cengal ditahan untuk pemeriksaan di RnR Gombak, Selangor, malam tadi.

   Pengarah JPNP, Dato’ Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, Unit Tindakan Khas (UTK) Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong yang diketuai Pegawai PHD Bentong, Haffiz Baharuddin telah melakukan siasatan sejurus menerima maklumat mengenai muatan lori berkenaan.

Lori yang membawa muatan empat tual balak spesies cengal ditahan untuk pemeriksaan di RnR Gombak, Selangor, malam tadi.

  Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati empat tual balak jenis cengal itu dikeluarkan dari dalam kawasan lesen di Terengganu dan semua syarat seperti pas atau premis memindah ada disertakan oleh pemandu lori.

Pegawai Hutan Daerah Bentong, Haffiz Baharuddin memeriksa dokumen muatan lori yang membawa empat tual balak spesies cengal di RnR Gombak, Selangor, malam tadi.

  “Hasil pemeriksaan dilakukan kita dapati tidak terdapat sebarang keraguan atau kesalahan dilakukan oleh pelesen termasuk pemandu lori yang membawa empat tual balak bersaiz besar itu.

  “Saiz besar atau kecil balak yang dipindahkan tidak menjadi satu kesalahan, asalkan ia mematuhi semua syarat dan peraturan ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan negeri tempat lesen pembalakan dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

  Semalam viral sebuah lori membawa muatan empat tual balak spesies cengal dikatakan cuba dipindahkan tanpa lesen yang ditemui di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Temerloh, berikutan saiz balak yang besar itu disyaki ditebang dalam hutan simpan.

  Berikutan itu, JPNP bertindak segera dan berjaya mengesan lori balak terbabit dan menahannya untuk pemeriksaan di RNR Gombak, Selangor.

  Mohd Hizamri menambah, aktiviti memindah balak berlaku di Terengganu kerana Ahad adalah hari bekerja di negeri berkenaan dan maklumat yang diterima lori berkenaan dalam perjalanan menghantar empat tual balak ke sebuah kilang papan di Selangor.

  Katanya, kes berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) untuk tindakan selanjutnya kerana ketika ditahan, lori balak terbabit berada dalam negeri Selangor.

  “Kita mempunyai pasukan penguat kuasa yang mampu bertindak pantas tanpa mengira waktu dan tempat bagi mengesan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang.

  “Saya ingin menasihatkan kepada masyarakat, pada masa hadapan agar membuat aduan terus kepada jabatan supaya tindakan lebih pantas dapat dilakukan.

  “Kita berharap masyarakat dapat memberi kerjasama kepada JPNP dengan memberi maklumat berkaitan hasil hutan di negeri ini. Kerjasama berkenaan dapat menghalang kerugian kerajaan negeri menerusi cukai yang sepatutnya diterima,” katanya.