KUANTAN: Persatuan Wanita UMP (MATAHARI) yang dianggotai ahli akademik, pengurusan profesional dan kakitangan sokongan Universiti Malaysia Pahang (UMP), disaran untuk bekerjasama dengan persatuan wanita dan badan bukan kerajaan (NGO) lain baik dari dalam mahupun luar negara untuk meluaskan jaringan perhubungan antara NGO berkaitan wanita.
Isteri YAB Menteri Besar, Datin Sri Burhah Mohamed, berkata dengan cara itu, MATAHARI dapat mempelajari pelbagai ilmu baharu dan berkongsi idea sekali gus membolehkan mereka berkembang maju.
Beliau juga menyarankan supaya MATAHARI bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri yang menganjurkan inisiatif bersifat kebajikan dan kemasyarakatan.
“Ini akan membolehkan MATAHARI bersama-sama membantu melaksanakan inisiatif terbabit dan akan memberi gambaran esklusif serta positif kepada masyarakat setempat di mana institusi kerajaan bergerak secara selari dan bekerjasama dalam membantu mereka.
“Kerjasama ini juga memungkinkan ahli-ahli MATAHARI dapat menambah pengetahuan mereka mengenai dasar-dasar kerajaan negeri sedia ada dan memahirkan mereka dengan skil tertentu, sesuai sebagai pegawai-pegawai kerajaan mahupun isteri-isteri pegawai kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian sebelum merasmikan Majlis Hi-Tea MATAHARI di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Naib Canselor UMP, Prof Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin; Pengerusi Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) Zon Pantai Timur, Dato’ Sri Maznah Mazlan dan Presiden MATAHARI, Datin Dr Mazita Mokhtar.
Mengulas lanjut, Burhah berkata, golongan wanita di negeri ini mempunyai potensi untuk memberi sumbangan yang lebih besar, sebagai sukarelawan melalui aktiviti pendidikan, latihan kemahiran, pendedahan tentang keusahawanan bagi meningkatkan ekonomi, membantu mereka yang mempunyai masalah berkaitan ekonomi dan kekeluargaan.
“Malahan pelbagai bentuk aktiviti dari berbagai sudut boleh diterokai dan saya berharap peranan itu boleh dimainkan oleh MATAHARI,” katanya.
Sementara itu, Dr Mazita berkata, sebagai sebuah organisasi, setiap ahli MATAHARI sentiasa bersedia untuk saling membantu apabila terdapat ahli berdepan kesukaran seperti sakit, menjadi mangsa bencana atau kemalangan yang tidak dijangkakan.
“Sebagai contoh apabila COVID-19 berlaku sejak penghujung 2019, MATAHARI tidak terkecuali membantu dengan cara tersendiri, antaranya dengan menyampaikan bakul makanan kepada yang terkesan dan lebih 100 bakul makanan diserahkan kepada ahli serta komuniti UMP yang terkesan pada 2021.
“Apabila banjir pada Disember tahun lalu, MATAHARI sama-sama berganding bahu membantu ahli yang menjadi mangsa,” jelasnya. – ZULKEPLI OSMAN