Maaf sahaja tak cukup

Maaf sahaja tak cukup

KUANTAN: “Sekadar maaf tidak sepadan dengan kenyataan yang dibuat… patut tindakan keras kepada dia dikenakan,” kata Dato’ Setia Penggawa Pahang, Tengku Dato’ Abdul Manan Tengku Temenggong Abdul Aziz.

Beliau yang mewakili Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat DiRaja Pahang, berkatademikian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan hari ini, berhubung ceramah politik penyandang kerusi Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang didakwa menghina institusi diraja Pahang.

Tengku Abdul Manan berkata, pihaknya berharap tindakan tegas diambil piha berkuasa ke atas Tengku Zulpuri bagi memberi pengajaran kepadanya dan ahli politik lain di negara ini bahawa terdapat had dan batas dalam berpolitik.

Beliau berkata, menerusi rakaman video berdurasi 1.53 minit dikatakan petikan daripada ceramah Tengku Zulpuri di Mentakab, Temerloh pada 19 Oktober lalu, secara jelas menyentuh institusi beraja, orang kenamaan dan rakyat Pahang yang dilabel penyamun dan penyangak.

“Hari ini lebih 20 NGO (badan bukan kerajaan) membuat laporan polis berhubung kenyataan biadap dilakukan Tengku Zulpuri ketika berceramah di mentakab (Temerloh) baru-baru ini.

“Sepatutnya kalau nak berpolitik, perlu secara matang dan jangan kaitkan istana dan Tuanku  (KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah) sebab kita berpegang kepada prinsip Rukun Negara.

“Kenyataan dilakukannya mengguris perasaan kerabat diraja dan rakyat Pahang. Oleh itu, saya mewakili Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat DiRaja Pahang dan lebih 20 NGO, meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan dan berhara tindakan keras diambil bagi memberi pengajaran serta peringatan kepada semua ahli politik,” tegasnya. – HELMY ABD RAHMAN