Macam pisang goreng panas

Macam pisang goreng panas

LIPIS: Kira-kira satu tan metrik buah dan sayuran laris dalam program MyRakyat FAMA Daerah Lipis melalui Jualan Terus Dari Ladang (JTDL), di Dewan Jubli Perak Kuala Lipis, di sini, semalam dan hari ini. 

Timbalan Menteri I, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, orang ramai mengambil kesempatan membeli pelbagai sayuran dan buah segar terus dari ladang yang diusahakan oleh usahawan Lipis. 

Katanya, program yang dijalankan itu dapat mencapai objektif kerajaan untuk membantu pengguna mengurangkan kos sara hidup dan juga meningkatkan pendapatan usahawan. 

“Jualan istimewa ini menawarkan harga sayuran yang jauh lebih rendah berbanding pasaran setempat oleh lapan usahawan yang menyertai program itu. 

“Orang ramai boleh membeli sayuran seperti  timun, terung, peria dan pisang yang  dijual pada harga RM2 satu kilogram berbanding RM4 sekilogram di pasar ketika ini,” katanya. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata demikian selepas membuat lawatan ke Jualan MyRakyat FAMA Lipis, hari ini.