KUANTAN: Kerajaan Pahang menghulurkan bantuan segera kepada pengurusan sekolah pondok Madrasah Al-Imaniyah di Kampung Darat Sungai Ular di sini selepas 33 daripada hampir 100 pondok didiami pelajarnya musnak dalam kebakaran, kira-kira jam 9 pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata kerajaan negeri juga sedang menunggu laporan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri mengenai kejadian itu untuk memudahkan urusan bantuan seterusnya.
“Buat masa ini kita bagi (beri) bantuan segera dahulu mungkin dalam RM4,000 ke RM5,000 dan sedang tunggu laporan penuh pihak bomba.
“Kita sedih tetapi tetap bersyukur kerana tiada yang kehilangan nyawa,” katanya kepada Fikrah Pahang ketika melakukan lawatan di lokasi kejadian, hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri juga mencadangkan kepada pengurusan pondok berkenaan untuk membina bangunan baharu yang lebih selamat dan selesa untuk mengelakkan kejadian serupa daripada berulang.
Jelasnya, kerajaan negeri dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Pahang (MUIP) akan membiayai pembinaan bangunan baharu berkenaan sekiranya cadangan itu dipersetujui pihak pengurusan pondok berkenaan.
“Kita fikirkan untuk jangka masa panjang dan mencadangkan supaya kita bekerjasama membina bangunan baharu yang lebih selamat dengan dipantau pohak bomba, kerajaan tempatan dan JKR (Jabatan Kerja Raya).
“Bagaimanapun ia bergantung kepada persetujuan pengurusan pondok. Jika setuju mereka perlu bersedia untuk mengikut prosedur ditetapkan supaya kejadian seperti ini tidak lagi berulang,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN