TEMERLOH: Seramai 55 petani dan penternak di Pahang dikesan terjejas disebabkan banjir yang melanda negeri ini dua minggu lalu.
Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) kini menyegerakan penilaian menyeluruh bagi mengenal pasti kerosakan dan jumlah kerugian sebenar golongan terbabit bagi menyediakan bantuan sewajarnya.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata antara kawasan terjejas di negeri ini membabitkan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Temerloh, PPK Bentong, PPK Kuala Lipis, PPK Tembeling, PPK Bera, PPK Maran, PPK Chenor, PPK Pekan, PPK Pulau Tawar, PPK Jerantut, dan PPK Rompin.
“Kerajaan menyediakan bantuan sewajarnya termasuk kepada Pertubuhan Peladang seluruh negara serta ahli peladang akibat daripada bencana alam seperti banjir.
“Secara keseluruhannya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta bagi menangani impak banjir seperti diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pemberita selepas menyampaikan bantuan Mafi Prihatin kepada ahli PPK yang terkesan dan meninjau kawasan projek yang musnah akibat banjir, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Azulita Salim dan Pengarah LPP Pahang, Dzulfadli Johan.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Mafi menerusi LPP telah menyediakan bantuan bekalan makanan (bakul makanan) merangkumi bantuan barangan makanan keperluan asas kepada 400 mangsa banjir di Temerloh.
Tambahnya, kedua-dua pihak juga mengadakan aktiviti pembersihan melalui Skuad Sukarelawan Pasca Banjir dan Kelab Sukan Dan Rekreasi (KSR) serta mengaktifkan Bilik Bencana Banjir bagi membantu mangsa banjir yang terkesan di seluruh negara. – MUHAMMAD NAJMIE