Mahasiswa anak Temerloh dapat RM200 seorang

Mahasiswa anak Temerloh dapat RM200 seorang

TEMERLOH: Seramai 1,348 mahasiswa anak Temerloh yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara, kelmarin menerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 sebanyak RM200 seorang.

EXCO Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata ia membabitkan peruntukan sebanyak RM269,600 yang disediakan Kerajaan Pahang.

Katanya, kerajaan negeri berharap bantuan itu dapat menampung perbelanjaan mahasiswa terbabit terutama ketika berdepan kenaikan kos sara diri sejak akhir-akhir ini.

“Kita (kerajaan negeri) tidak pernah mengabaikan tanggungjawab membantu mahasiswa terdiri daripada anak Pahang.

“Pendapatan negeri yang bertambah setiap tahun memberi peluang kepada semua lapisan rakyat menikmati pelbagai bantuan di bawah BPP bermula daripada bayi hinggalah warga emas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian BPP kepada 1,348 mahasiswa anak Pahang bagi Parlimen Temerloh, di sini kelmarin.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Dato’ Nor Azmi Mat Ludin. – MOHD IMRAN IZZAD