Mahasiswa UCYP cakna rakan sekuliah menerusi Jejak Asnaf Ramadan 1442H

Mahasiswa UCYP cakna rakan sekuliah menerusi Jejak Asnaf Ramadan 1442H

Oleh Mohd Imran Izad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Program Jejak Asnaf Ramadan 1442H diadakan bagi mengesan seterusnya menyampaikan bantuan kepada 30 pelajar University College of Yayasan Pahang (UCYP) di negeri ini.

  Program kebajikan yang julung kali diperkenalkan itu dianjurkan oleh Fakulti Pembangunan Manusia UCYP dengan sokongan pengurusan UCYP yang sentiasa prihatin dengan masalah dihadapi pelajar.

Pengarah program, Shafawati Atikah Shapiee (kanan) menyampaikan bantuan kepada pelajar pada Program Jejak Asnaf Ramadan 1442H.

  Pengarah program, Shafawati Atikah Shapiee berkata, mereka yang menerima bantuan terdiri pelajar daripada keluarga miskin, yatim serta asnaf dan kebanyakan mereka menetap di kawasan luar bandar negeri ini.

  Katanya, program Jejak Asnaf Ramadan 1442H diadakan selama sebulan bermula 13 April lalu dan pemilihan penerima berdasarkan senarai asnaf yang dikeluarkan oleh Hal Ehwal Pelajar (HEP) UCYP.

  “Matlamat program ini diadakan bagi meringankan beban pelajar serta keluarga mereka, ia diharap dapat menceriakan Ramadan kali ini.

  “Sumbangan berupa keperluan asas diberikan sebagai tanda prihatin dan cakna kami pada rakan-rakan yang kurang bernasib baik,” katanya yang turut terbabit menyampaikan bantuan berkenaan.

  Beliau menambah, pihak penganjur berharap bantuan berkenaan dapat menyuntik semangat penerima sumbangan untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik dan berjaya.

 Shafawati Atikah berkata, 

penerima sumbangan terdiri daripada pelajar Diploma dan Ijazah Sarjana Muda, Fakulti Pembangunan Manusia UCYP yang menetap di beberapa daerah di negeri ini.

  Katanya, jawatankuasa program turun padang menghantar sumbangan berkenaan walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran antaranya terpaksa menaiki bot untuk menyeberang sungai.

 Bagi Siti Hawa Kamarudin, bantuan keperluan asas yang diberikan dapat meringankan beban dia sekeluarga.

  “Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang sanggup datang dari jauh untuk memberikan sumbangan, hanya Tuhan sahaja dapat membalasnya dan diberikan pahala berganda,” katanya menetap di Kampung Kerambit, Lipis.