Mahmoud Za’tara taruhan Sri Pahang

Mahmoud Za’tara taruhan Sri Pahang

PENYERANG import dari Jordan, Mahmoud Za’tara menjadi pilihan Sri Pahang FC untuk mengemudi jentera serangan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2022.

Berdasarkan pengalaman, Za’tara yang membantu Al-Wehdat muncul naib juara Jordanian Pro League serta Piala Super Jordan 2021 ini cukup dikagumi kerana kelicikan dan sentuhan klinikalnya di depan gawang.

Menerusi akaun rasmi Facebook Sri Pahang FC, semalam, diberitahu penyerang berusia 30 tahun itu pernah menyarung jersi beberapa kelab di negara Timur Tengah seperti di Oman, Qatar, Kuwait, dan Bahrain selain berpengalaman beraksi di saingan Piala AFC dan kelayakan Liga Juara Asia.

Berhijrah ke Asia Tenggara buat kali pertama, Za’tara yang turut mempunyai kap bersama skuad kebangsaan Jordan sudah bersedia mempertaruhkan pengalaman luasnya untuk menggegar bersama Sri Pahang.

Pada masa sama, Sri Pahang turut mengumumkan pertahanan berdarah kacukan Malaysia-England, Nick Swirad kekal bersama Sri Pahang bagi musim 2022.

Pemain yang turut boleh beraksi sebagai pertahanan tengah menyertai Sri Pahang pada jendela perpindahan kedua musim lalu selepas membantu Nongbua Pitchaya menjuarai Liga 2 Thailand.

Ketenangan, pengalaman dan aksi pemain berusia 31 tahun itu menyaksikannya terus mendapat kepercayaan barisan kejurulatihan untuk membentuk gandingan mantap bersama Johan Martial di bahagian pertahanan musim ini. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN