Oleh Mohd Imran Izzad fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
TEMERLOH: Persefahaman yang terjalin di antara penggembala atau mahut dengan gajah peliharaan perlu sentiasa diwujudkan dalam apa juga keadaan bagi memastikan setiap tugas dapat berjalan lancar.
Penubuhan Unit Rondaan Bergajah yang mula diperkenalkan tahun lalu oleh Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, dekat sini, menjadi cara terbaik yang dapat mengeratkan lagi hubungan haiwan bersaiz besar itu dengan penjaganya.
Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, pada hari biasa mahut hanya berada bersama gajah di bawah jagaan mereka dalam masa empat hingga lima jam sahaja, selebihnya mereka melakukan pelbagai tugas lain.
Menurutnya, dengan adanya pasukan Unit Rondaan Bergajah yang bertugas membuat rondaan dalam kawasan hutan Rizab Hidupan Liar Krau, di sini, mahut akan dapat bersama gajah jagaan mereka sepanjang hari, siang dan malam sepanjang tempoh rondaan yang dilakukan dua hingga tiga kali sebulan.
Katanya, selepas bertugas pada waktu siang dengan aktiviti pemantauan mengikut laluan atau denai yang disediakan, mahut dan gajah akan berehat bersama di kawasan khemah sepanjang malam.
“PKGK Kuala Gandah kini mempunyai enam gajah dewasa tempatan yang terbabit melakukan tugas rondaan iaitu Sanum, Alam, Kasturi, Indah, Linang dan Abot yang berusia antara 18 hingga 45 tahun.
“Kita kini mempunyai seramai 15 hingga 20 mahut berpengalaman yang setiap seorang menjaga seekor gajah, di samping ada juga yang boleh mengendalikan semua gajah.
“Kebanyakan mahut terdiri daripada masyarakat Orang Asli suku kaum Che Wong yang menetap di kawasan Kuala Gandah ini,” katanya.
Beliau berkata, Unit Rondaan Bergajah PKGK Kuala Gandah merupakan aktiviti di bawah Projek Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebagai Pusat Kecemerlangan Pengurusan Gajah yang merupakan program serampang dua mata.
Che Ku Mohd Zamzuri berkata, selain sebagai aktiviti latihan kecergasan dan kecerdasan gajah serta mahut, ia juga bagi membantu tingkatkan perlindungan Rizab Hidupan Liar Krau.
“Program Unit Rondaan Bergajah turut membabitkan kerjasama dengan Pengurusan Rizab Hidupan Liar Krau selain turut disertai komuniti setempat terdiri penduduk dan masyarakat Orang Asli,” katanya.
Bagi Suhaimi Ibrahim, 36, pengalaman sebagai mahut selama 15 tahun memberi kelebihan kepadanya mengendalikan semua gajah denak yang terdapat di PKGK Kuala Gandah.
Katanya, dia mula bertugas sebagai mahut dengan mengendali gajah betina bernama Kasturi selama lebih 10 tahun, disusuli beberapa gajah lain yang terdapat di PKGK Kuala Gandah.
“Untuk mengendali gajah denak, mahut perlu menghafal beberapa perkataan utama sebagai arahan pada gajah. Sebagai contoh hing, cerong, hijah, hor dan cik.
“Semua gajah tempatan menggunakan bahasa arahan yang sama dan ketika bertugas mahut perlu sentiasa memberi arahan kepada gajah bagi memastikan aktiviti berjalan lancar,” katanya.
Katanya, persefahaman antara mahut dan gajah amat penting pada setiap masa, justeru mahut perlu sentiasa memiliki sifat kasih dan sayang di antara manusia dan haiwan.
Suhaimi menambah, minat mendalam dengan tugas yang diamanahkan juga turut menjadi faktor utama seseorang mahut itu berjaya menjalankan tugas dengan sempurna dan berkesan.