KUANTAN: Kerajaan Pahang percaya lebih ramai pelancong dari United Kingdom (UK) akan memilih Pahang sebagai destinasi percutian mereka.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata keyakinan itu berdasarkan kerjasama strategik pelancongan Pahang bersama Halia Kitchen Grand Plaza Hotel di London.
“Kerjasama strategik pemasaran dan promosi antara Tourism Pahang dan Restoran Halia UK adalah antara inisiatif kerajaan negeri.
“Ia bagi memastikan pasaran Eropah, khususnya UK yang selama ini menyumbang kepada kehadiran pelancong asing ke Pahang dipertingkatkan.
“Kerjasama ini berbentuk promosi melalui hiasan poster di dalam restoran yang memaparkan destinasi terpilih di Pahang.
“Antara destinasinya seperti Taman Negara, Pulau Tioman, Pantai Cherating, Kuala Gandah, Cameron Highlands, Bukit Fraser dan lain-lain.
“Selain itu, beberapa menu makanan tradisional Pahang akan turut disediakan bagi menarik perhatian warga UK yang ingin merasai kenikmatan dan kelazatan makanan kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Wan Rosdy memuat naik hantaran itu selepas mengiringi KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan bercemar duli ke Majlis Santapan Sempena Kerjasama Strategik Pelancongan Pahang bersama Halia Kitchen Grand Plaza Hotel di London. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN