KUANTAN: Koperasi Makmur Malaysia Bhd (Ko-Makmur) akan mengembangkan sayap perniagaannya dengan membuka cawangan di Tanah Suci Makkah, dalam tempoh dua tahun lagi.
Pengerusinya, Khairul Azam Awang, berkata rancangan itu sebahagian daripada strategi syarikat untuk menembusi pasaran luar negara selepas menerima sambutan baik bagi pasaran domestik.
“Kita bercadang untuk membuka cawangan di Makkah sekitar pertengahan 2024, sejajar dengan aspirasi kami mengembangkan perniagaan bagi pasaran luar negara.
“Sebelum ini kita bercadang membuka cawangan di Dubai, namun selepas membuat penilaian semula, kami dapati pasaran di Makkah lebih berpotensi untuk diteroka yang mana orang ramai yang berkunjung ke sana bukan sahaja untuk mengerjakan haji dan umrah, malah suka berbelanja,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Makmur Gold Umrah Challenge 21/22 di sini, semalam.
Pada majlis itu, Ko-Makmur meraikan 38 usahawan Makmur Gold terdiri daripada rakan niaga syarikat yang berjaya mencapai sasaran jualan tahunan sekurang-kurangnya 3.6 kilogram (kg).
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Makmur Gold, Mohd Faizuddin Che Mahmood.
Mengulas lanjut, Khairul Azam berkata, pihaknya akan membuka cawangan Makmur Gold di Putrajaya, pertengahan bulan depan.
“Ini adalah cawangan ke-12 kami dan proses renovasi sudah pun memasuki peringkat akhir,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN