Malik azam pamer prestasi terbaik

Malik azam pamer prestasi terbaik

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Kuantan: Pemain tengah Sri Pahang FC, Abdul Malik Mat Ariff berazam mempamer prestasi terbaik dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

  Pemain berpengalaman itu berkata, komitmen tinggi semua pihak iaitu pengurusan, barisan kejurulatihan dan pemain akan memperkasakan pasukan itu.

  Katanya, pada masa sama, kehadiran ketua jurulatih Sri Pahang musim ini, Thomas Dooley mampu meletakkan pasukan itu pada tahap menyakinkan.

  “Banyak perkara baharu yang diterapkan jurulatih terutama membantu meningkatkan kemahiran daripada segi kawalan bola.

  “Selain itu, tahap kecergasan diberi keutamaan untuk memastikan semua pemain berada tahap prestasi terbaik sebelum memulakan saingan Liga M nanti.

  “Pengalaman luas sebagai pemain dan jurulatih di peringkat antarabangsa memberi pengalaman berharga kepada semua pemain,” katanya.

  Mengulas sesi latihan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Abdul Malik berkata semua pemain tidak berdepan masalah dalam mengekalkan tahap kecergasan.

  Katanya, persisiran pantai Batu Hitam dan Beserah dijadikan lokasi harian iaitu berlari sejauh lapan kilometer yang ditetapkan pasukan pada sesi pagi.

   “Sesi petang pula semua pemain lebih menumpukan kepada latihan kecergasan dengan menggunakan video,” katanya.