Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
PERASAAN gembira tidak dapat disembunyikan pemain tengah Sri Pahang FC, Abdul Malik Mat Ariff apabila rakan gandingan, Manuel Hidalgo kembali beraksi menentang Kuala Lumpur City FC, Jumaat ini.
Pemain kelahiran Kuantan itu berkata, kehadiran Hidalgo akan kembali memantapkan skuad Tok Gajah terutama di bahagian tengah selepas digantung satu perlawanan.
“Gandingan kami diharap membantu menewaskan Kuala Lumpur City pada aksi perlawanan di Stadium Darul Makmur, Jumaat ini.
“Walaupun dilihat lawan berada pada prestasi terbaik, kami tidak akan melepaskan tiga mata ketika Sri Pahang amat memerlukannya.
“Ini kerana kemenangan akan membantu meletakkan pasukan pada kedudukan lebih baik berbanding di kedudukan kesembilan ketika ini,” katanya.
Ketika ini, gandingan Abdul Malik dan Hidalgo, membuktikan mereka memiliki keserasian kerana bukan sahaja membantu rakan di bahagian serangan, malah masing-masing turut menjaringkan dua gol setakat ini.
Tidak hairanlah, ketua jurulatih, Dollah Salleh mengharapkan dua pemain tengah ini beraksi pada tahap terbaik bagi membantu Sri Pahang beroleh kemenangan pada setiap perlawanan.